Mangga

Youtube

YOUTUBE

KOTAK JERIT (SHOUTBOX)

KOTAK JERIT (SHOUTBOX)


Khamis, Januari 07, 2010

Cadangan KBS Menghantar Skuad Ke Luar Negara


Hantar ke kelab sesuai - Akmal

Januari 6 2010 (Sumber : Kosmo)
HASRAT Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk menghantar pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) negara ke kelab-kelab luar negara perlu diperjelas dengan betul.

Jika mereka sekadar diserapkan bagi menjalani latihan untuk tempoh yang singkat, ia dianggap tidak berbaloi.

Tiga pemain yang pernah merasai pengalaman beraksi dalam saingan liga luar negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Rudie Ramli dan Fadzli Saari sempat berkongsi pandangan masing-masing ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagi Akmal, 29, yang kini beraksi bersama Kelantan, cadangan Shabery itu dianggap baik tetapi biarlah pemain- pemain itu dihantar ke kelab yang sesuai dan berlatih dalam tempoh jangka panjang.

"Kalau menteri maksudkan untuk hantar bermain bersama kelab luar, ia satu cadangan yang baik dan pemain- pemain ini perlu mengambil peluang yang diberi ini sepenuhnya.

"Tetapi kalau nak hantar untuk latihan selama tiga atau enam bulan saja, itu tak bagus kerana umur mereka ini sudah 22 dan 23 tahun. Program latihan sesuai untuk pemain remaja saja," kata Akmal.

Akmal berhijrah ke kelab Perancis, Strasbourg pada 1999 ketika berusia 19 tahun bersama Juzaili Samion yang kini mewakili Felda United.

Bagi Rudie, 28, pula yang kini beraksi bersama Selangor, pelbagai aspek perlu diambil kira sebelum sesatu keputusan berhubung penghantaran pemain B-23 negara ke kelab luar dilaksanakan.

"Kalau boleh, cari kelab yang betul- betul dapat memberi ruang kepada pemain-pemain ini beraksi. Tetapi bagi saya, umur 23 tahun ini tak sesuai, lebih baik hantar pemain-pemain Harimau Muda yang usia mereka dalam lingku- ngan 21 tahun ke bawah.

"Mungkin juga boleh dipertimbangkan kelab-kelab Asia seperti di Jepun atau Korea Selatan, itu saya rasa lebih sesuai. Jika di Eropah, banyak halangan seperti masalah cuaca," katanya.

Rudie dihantar berlatih selama sebulan ke Bayern Munich ketika berusia 17 tahun pada 1999 dan setahun kemudian, dia beraksi sepenuhnya selama semusim bersama satu lagi kelab Jerman, SV Wehen.

Fadzli, 27, yang kini bersama KL Plus berpendapat, cadangan Shabery itu baik tetapi perlu dibincangkan lebih mendalam terlebih dahulu dengan para pemain skuad B-23 negara.

"Apa yang penting, mentaliti pemain itu sendiri. Kalau hati dan fikiran mereka masih di Malaysia, tak guna kita hantar mereka ke kelab luar. Lagipun ada pemain yang sudah berkahwin dan sebagainya.

"Patut hantar saja pemain B-21 atau B-19 kerana mentaliti mereka lebih bersemangat. Tetapi kalau boleh, hantar untuk tempoh setahun sekurang-kurangnya. Kalau untuk dua atau tiga bulan, tiada apa-apa hasil," katanya.

Fadzli turut menyertai Rudie beraksi di SV Wehen pada tahun 2001 ketika dia baru berusia 18 tahun.

Cadangan KBS Buat Skuad B-23
Januari 5 2010 - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju untuk menghantar 30 pemain skuad Bawah 23 tahun negara beraksi dengan kelab-kelab terkemuka Eropah.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, pendedahan di luar negara itu merupakan jalan terbaik untuk mengekalkan kecemerlangan skuad yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA XXV di Laos, baru-baru ini.

Untuk itu, katanya, beliau sendiri akan ke England minggu depan untuk membincangkan bentuk kerjasama dengan beberapa kelab di England.

Sambil merahsiakan nama-nama kelab terbabit, Shabery berkata, beliau juga akan ke beberapa negara Eropah, selain dari England.

''Apabila pulang nanti dari sana nanti, barulah saya akan umumkan bentuk kerjasama yang kita boleh jalinkan dengan kelab-kelab berkenaan.''

''Mungkin kita akan bahagikan para pemain ini kepada beberapa kelab, tidak semestinya mereka akan tertumpu dengan satu kelab sahaja.

"Lebih baik kita pecahkan pemain kita berlatih di kelab berlainan seperti dilakukan negara-negara Afrika. Sampai waktunya, mereka pulang dan beraksi dengan pasukan kebangsaan,"

''Saya akan membawa perancangan ini ke Kabinet. Usaha ini amat penting demi pembangunan jangka panjang bola sepak negara,''

"Kita nak buat program pendedahan ini bukan hanya dengan satu kelab tertentu sahaja tetapi dengan beberapa kelab yang bukan saja di England, malah di beberapa negara lain."

"Tidak semestinya England, ada juga beberapa tawaran diterima dari Korea Selatan, Slovakia dan Tukri." katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

"Tetapi kalau beberapa kelab England sudi ambil pemain kita, pasti ia satu kelebihan kerana liga negara itu ditonton ramai. Jika pemain kita ke Korea Selatan, namanya akan hilang begitu saja," kata Shabery.

Sebelum ini, cadangan Ahmad Shabery supaya pemain skuad bola sepak Bawah 23 tidak mewakli pasukan negeri atau kelab sukar, didakwa sukar untuk dilaksanakan.

Ia disebabkan faktor kewangan yang dihadapi oleh FAM serta masalah teknikal yang bakal berlaku jika cadangan tersebut dilaksanakan.

Ahmad Shabery berkata, beliau menyedari kekangan yang akan dihadapi oleh FAM dalam memenuhi komitmen itu, kerana kebanyakan pemain terikat dengan kontrak bersama pasukan negeri masing-masing, di samping masalah kewangan untuk menghantar pemain ke luar negara.

''Saya akan berbincang dengan FAM serta pasukan negeri yang terlibat untuk melepaskan pemain mereka sepanjang tempoh pemain yang terpilih untuk ke luar negara, juga membantu daripada segi kewangan,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media mengenai skuad Bawah 23 negara selepas mengadakan perbincangan dengan FAM mengenai hala tuju bola sepak negara di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Sebelum mengadakan sidang media tersebut pagi semalam, Shabery terlebih dahulu mengadakan perbincangan dengan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong.

Ditanya jika ada pasukan negeri enggan melepaskan pemain mereka kepada skuad kebangsaan, Shabery menegaskan, mereka tiada pilihan lain, selain mengutamakan kepentingan negara.

''Namun, ruang untuk perbincangan tentang masalah itu tetap ada, kita bersedia berunding dalam memenuhi tuntutan mereka terutamanya pembabitan kontrak,'' jelasnya.

Beliau optimis sambutan orang ramai terhadap Liga Super 2010 tidak terjejas teruk hanya kerana tiada penyertaan beberapa pemain kebangsaan dalam skuad negeri.

''Kita hanya mengambil dalam satu atau dua sahaja pemain, paling maksimum mungkin empat pemain dari satu pasukan, saya tidak fikir ia akan memberi kesan teruk kepada semua pasukan negeri,'' katanya.

Selain itu, Shabery juga berkata merancang mewujudkan program pendedahan kepada jurulatih untuk ke luar negara pada masa akan datang.

''Kita tidak mahu sekadar jurulatih kita hanya tahu sekadar melatih, namun turut dibimbing dengan ilmu membaca serta menganalisis permainan bola sepak,'' katanya.

Sementara itu, Redzuan pada sidang media di Wisma FAM kelmarin menyatakan cadangan Shabery itu sudah terlambat tetapi membayangkan skuad B-21 negara yang dibimbing Azraai Khor Abdullah dan skuad Harimau Muda (B-19) bimbingan Ong Kim Swee boleh merealisasikan cadangan tersebut.

Namun nada Redzuan berbeza pula semalam apabila beliau bersetuju dengan idea terbaru Shabery untuk menyerapkan pemain-pemain B-23 negara ke kelab luar.

"Jika pemain-pemain B-23 negara ini gagal mendapat tempat di kelab-kelab luar itu, mereka akan pulang dan berlatih di FAM. Gaji mereka tetap akan dibayar oleh FAM.

"Tentang kontrak, kami akan runding dengan persatuan bola sepak (FA) negeri masing-masing," kata Redzuan.

Pemain negara yang pernah berlatih dengan kelab luar negara :
Akmal Rizal Rakhli (Strasbourg FC), Juzaili Samion (Strasbourg FC), Rudie Ramli (SV Wehen), Fadzli Saari (SV Wehen, Bournemouth), Lim Chan Yew (Bournemouth), Syamsuri Mustafa (Bournemouth), Syed Adney Syed Hussein (Bournemouth, Middlesbrough), Asraruddin Putra Omar (PSV Eindhoven), Khairul Fahmi Che Mat (PSV Eindhoven), Bunyamin Omar (Chelsea), Baddrol Bakhtiar (Chelsea)

Sumber : Kosmo, Utusan Malaysia

Sumber Utusan Malaysia:

KUALA LUMPUR – Cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk ‘menghalang’ pemain skuad bola sepak Bawah 23 negara yang memenangi emas di Sukan SEA Laos untuk tidak bermain dengan pasukan negeri atau kelab sukar untuk dilaksanakan.

Ia disebabkan faktor kewangan yang dihadapi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta masalah teknikal yang bakal berlaku jika cadangan tersebut hendak dilaksanakan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, masalah kewangan adalah perkara utama yang bakal membantutkan cadangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk melihat pemain skuad emas itu tidak mewakili mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia.

Katanya, kos beraksi di luar negara adalah tinggi dan FAM juga perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada mana-mana negara yang ingin membenarkan skuad tersebut beraksi dalam liga mereka.

Selain itu katanya, ia juga bakal menimbulkan masalah teknikal apabila melibatkan kontrak pemain dengan pasukan mereka ketika ini dan perkara tersebut perlu mendapat kelulusan daripada ahli gabungan FAM.

“FAM menyambut baik cadangan Datuk Ahmad Shabery Cheek supaya pemain skuad Bawah 23 negara tidak bermain dengan mana-mana persatuan negeri atau kelab.

“Ia jelas menunjukkan KBS mahu memberi perhatian serius kepada sukan bola sepak negara dan melihat sukan kesayangan rakyat negara ini terus maju di peringkat antarabangsa.

“Namun, cadangan tersebut bakal menimbulkan beberapa isu teknikal yang perlu diatasi oleh FAM dan ahli gabungan, terutama dari segi kontrak, gaji, kebajikan pemain dan jurulatih.

“Faktor kewangan FAM juga perlu diambil kira kerana ia bakal melibatkan dana yang besar untuk membawa skuad emas ini beraksi di luar negara.

“FAM kini menanggung tiga buah pasukan secara langsung iaitu skuad Bawah 23, Harimau Muda A dan Harimau Muda B.

“Oleh yang demikian, bagi menjayakan hasrat Menteri Belia dan Sukan, FAM perlu mendapat sokongan penuh daripada KBS serta ahli gabungan FAM,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis makan tengahari bagi meraikan kejayaan skuad bimbingan K. Rajagobal di Restoran Salero Negori, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Azzuddin berkata, hanya beberapa pemain skuad Bawah 23 yang di bawah kontrak FAM, manakala selebihnya terikat dengan persatuan negeri dan kelab.

Katanya, perkara tersebut menyentuh polisi peraturan perlembagaan FAM dan ia perlu mendapat persetujuan daripada ahli gabungan.

Sehubungan itu katanya, dia tidak boleh memberi kata putus berhubung cadangan Menteri Belia dan Sukan tersebut, sebaliknya akan mengemukakan cadangan dinamik tersebut kepada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dan kemudiannya dibawa ke mesyuarat Exco.

Katanya, FAM perlu mendengar pendirian ahli gabungan berhubung perkara tersebut dan badan pengurusan bola sepak negara itu juga perlu mendapat kelulusan daripada pihak tersebut.

Sumber Berita Harian:

BEBERAPA kekangan perlu diteliti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung saranan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang tidak mahu pemain pasukan kebangsaan bawah 23 tahun beraksi untuk pasukan negeri atau kelab.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azuddin Ahmad berkata biarpun cadangan itu menunjukkan kesungguhan kerajaan berhubung dengan kecemerlangan bola sepak negara, namun ada beberapa perkara yang perlu dilihat terlebih dahulu.

Antaranya status kontrak pemain yang baru saja bermula dengan pasukan negeri dan kelab masing-masing yang akan membuka perlawanan pertama pada Sabtu ini.

“Hanya beberapa pemain saja yang bernaung di bawah FAM manakala selebihnya beraksi dengan pasukan dan kelab masing masing. Secara jelas ianya membabitkan kontrak setiap pemain.”

“Masih belum ada kata putus daripada FAM, namun perkara ini membabitkan dasar daripada segi peraturan dan perlembagaan badan induk sendiri. Pendapat dan pendirian daripada ahli gabungan negeri dan kelab juga perlu diambil kira.”

Katanya, walaupun mendapat persetujuan dan kerjasama daripada ahli gabungan, masih ada beberapa masalah teknikal yang perlu diberi perhatian.

“Perbezaan jelas kelihatan jika diukur kepada jumlah gaji yang diberikan persatuan negeri dan kelab, berbanding dengan tawaran yang diberikan kerajaan.”

“Secara jujurnya, dengan masalah kekurangan kewangan yang dihadapi, FAM tidak mampu memenuhi hasrat itu,” kata Azuddin.

Tiada ulasan: